Selasa, 26 Ogos 2008

Kursus Pengurusan Jenazah



MASJID AL-FAIZIN, 24 OGOS 2008 - Ringkas, Mudah dan Sempurna (RMS) - itulah yang ingin diterapkan oleh Penceramah Jemputan, Us. Hj. Mohd Rafi semasa memberikan panduannya secara am berkenaan pengurusan jenazah.

Y. Bhg. Penceramah menyatakan, kebanyakan masalah yang timbul semasa menguruskan jenazah adalah akibat kurangnya ilmu serta lebih mengutamakan perkara yang sunat dari yang wajib.

Kursus seterusnya dikendalikan oleh Tn. Hj. Saripudin Bin Hj. Sarip, yang melakukan demonstrasi membersih, memandi dan mengkafankan jenazah.

Kursus yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Kumpulan Marhaban As-Sakinah, Taman Ehsan Timur itu mendapat sambutan seramai 43 penyertaan dari penduduk sekitar Desa Jaya dan Taman Ehsan.

Kursus tersebut dianjurkan dengan kerjasama pihak Masjid Al-Faizin dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Kursus turut dirasmikan oleh Timbalan Pengurus Masjid, Us. Nisran.

Lihat Album :
Kursus Pengurusan Jenazah

Jumaat, 22 Ogos 2008

Notis Mesyuarat Pemilihan

Rujukan Kami : JAI.Sel.BPM/MAF/03/08 (07)
Tarikh : 14 Ogos 2008

Kepada,

SEMUA AHLI KARIAH MASJID AL-FA'IZIN DESA JAYA / TAMAN EHSAN

Y.Bhg. Dato' / Datin / Tuan / Puan

PER : NOTIS MESYUARAT PEMILIHAN PEGAWAI DAN AHLI JAWATANKUASA MASJID AL-FA'IZIN DESA JAYA / TAMAN EHSAN KEPONG.

Dengan segala hormatnya, izinkan saya merujuk perkara di atas.

2. Sukacita dimaklumkan, berdasarkan surat arahan daripada Jabatan Agama Islam Selangor bertarikh 30 Julai 2008 No. Ruj. (98) dlm JAI.Sel.BPM/02/064 Jld. 2, Masjid Al-Fa'izin akan mengadakan Mesyuarat Pemilihan Pegawai dan Ahli Jawatankuasa pada tarikh, masa dan tempat seperti berikut :

Tarikh : 30 Ogos 2008 / 28 Sya'ban 1429 (Sabtu)
Masa : 8.00 pagi
Tempat : Dewan Solat Masjid Al-Fa'izin

3. Sehubungan dengan itu, Y.Bhg Dato / Datin / Tuan / Puan adalah dijemput hadir.

4. Kerjasama Y.Bhg Dato / Datin / Tuan / Puan untuk hadir dalam mesyuarat pemilihan ini kami dahului dengan jutaan terima kasih.

Sekian, wassalam.

"BERKHIDMAT KERANA ALLAH"

Yang menjalankan amanah,

BASYIRUDDIN BIN HAJI MAHMAD MUHTAR
Pengurus,
Masjid Al-Fa'izin,
Jabatan Agama Islam Selangor.

Sertai Kursus Pengurusan Jenazah

Kursus Pengurusan Jenazah

Anjuran :
Kumpulan Marhaban As-Sakinah

Tarikh :
24 Ogos 2008 (Ahad)

Tempat :
Masjid Al-Faizin Desa Jaya / Taman Ehsan

Masa :
8.00 pagi - 1.00 tengahari

Yuran :
RM 5.00 seorang

Pendaftaran / Pertanyaan :
017 - 670 9234 ( Hj. Khalid )

Khamis, 21 Ogos 2008

Tajaan Berbuka Puasa Dan Moréh Ramadhan 1429 H / 2008 M

Assalaamu'alaikum w.b.t

Pelawaan adalah dibuka kepada muslimin dan muslimat / individu atau berkumpulan, khasnya di dalam Qaryah Masjid Al-Faizin Desa Jaya / Taman Ehsan, untuk menaja jamuan berbuka puasa atau moréh atau kedua-duanya sekali, untuk mana-mana hari sepanjang bulan Ramadhan 1429 H.

Anggaran penajaan adalah seperti berikut :

Berbuka Puasa : RM400.00 (RM 4 x 100 orang)

Moréh : RM 320.00

Muaturun Borang Penajaan yang disediakan, penuhkan dengan lengkap dan jelas, dan hubungi atau hantarkan kepada :

Hj. Mohd Khalid Bin Mohd Kasim
Penyelaras Majlis dan Kera'ian
No. Tel : 017 - 670 9234

BORANG Tajaan Buka Puasa / Moréh - Klik untuk muaturun.

Jadual Majlis Ilmu (22 - 27 Ogos 2008)

Tarikh Penceramah /Tajuk Masa
2008-08-22 Ust. Surizal
AQIDAH - AHLI SUNNAH WALJAMAAH
Selepas Solat Magrib
2008-08-24 Ust. Hadi Bakri
Umum
Selepas Solat Subuh
2008-08-25 Ust. Yusri Abd Karim
Bimbingan Mukmin
Selepas Solat Magrib
2008-08-26 Ust. Mahfuz Muhamad
Perkara Bidaah/Umum
Selepas Solat Magrib
2008-08-27 Ust. Shamsul Bahri Zainal
Wasoya Rasul (Tamadun Islam)
Selepas Solat Magrib

Selasa, 17 Jun 2008

Mais sedia serah semula pentadbiran 7 masjid

Kariah akan dibenar ambil alih urus tadbir dengan syarat semua kes saman ditarik balik

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan menyerahkan semula tujuh masjid serta dua surau yang ditadbir mereka selepas diambil alih daripada kariah rumah ibadat berkenaan, dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Timbalan Setiausaha Mais, Abdul Halem Hapiz Salihin dalam kenyataannya yang difakskan ke Berita Harian, semalam, berkata itu akan dilakukan jika semua saman yang difailkan kariah terhadap Mais, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Ahli Jawatankuasa (AJK) lama serta Kerajaan Selangor, ditarik balik.

Tujuh masjid berkenaan ialah Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh; Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya; Masjid Al-Hidayah, Kelana Jaya; Masjid Mujahideen, Damansara Utama; Masjid Al-Mukarramah, Bandar Seri Damansara; Masjid Al-Munawarrah, Seksyen 27 Shah Alam dan Masjid Al-Faizin, Desa Jaya, Kepong, manakala dua surau pula membabitkan Al-Madaniah, USJ 18, Subang Jaya dan Ar-Rahman, Seksyen 8, Shah Alam.

Kenyataan itu juga menyebut keputusan itu dibuat dalam Persidangan Mais kelmarin dipengerusikan Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

"Turut diputuskan ialah, selain mematuhi peruntukan Kaedah-kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) 1995 (Pindaan) 2001, pandangan ahli kariah sesuatu masjid atau surau untuk pemilihan pegawai serta AJK masjid hendaklah diambil kira.

"Mais turut menetapkan kriteria baru untuk pemilihan calon pegawai masjid serta AJK masjid dengan menambahbaik syarat kelayakan seperti umur calon, tinggal tetap dalam kariah masjid, akhlak mulia selain kelayakan minimum," katanya.

Pada masa sama, Mais turut bersetuju mengekalkan jawatan Pengurus, Timbalan Pengurus dan Penolong Pengurus sebagai imam, bilal dan siak manakala pelantikan nazir serta AJK baru hendaklah mengikut peruntukan Kaedah-kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) 1995 (Pindaan) 2001.

Beliau berkata, persetujuan Mais untuk menyusun semula jawatankuasa di bawah seliaan Mais ialah untuk penambahbaikkan mengikut kepakaran dan pengalaman ahli yang dilantik selaras dengan prinsip ketelusan dan urus tadbir yang baik.

Katanya, ia juga bertujuan untuk mengelakkan pertindihan fungsi, perselisihan kepentingan dan sebagai langkah interim untuk menambahbaik struktur dan perjalanan organisasi Mais.

Kenyataan itu juga menyebut Mais bersetuju untuk mencelah dalam permohonan semakan kehakiman difailkan oleh Titular Roman Catholik Archbishop terhadap Menteri Keselamatan Dalam negeri dan Kerajaan Malaysia untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan dibuat oleh orang bukan Islam.

"Mais akan mencelah untuk menyatakan bantahan terhadap permohonan itu dan sudah melantik peguam untuk mewakili Mais.

"Selain itu, Mais turut bersetuju dengan keputusan mesyuarat Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak/Sivil kali ke 18 yang memutuskan supaya orang bukan islam yang hendak memeluk Islam tidak perlu memaklumkan kepada mereka sebelum memeluk Islam, melainkan secara sukarela," katanya.

Satu lagi kata putus penting dibuat dalam Persidangan Mais kelmarin ialah terus mempertahankan kedaulatan institusi raja dan kesucian agama Islam selain menjunjung taat setia kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebagai ketua agama Islam negeri itu.

- Berita Harian

Penceramah jemputan perlu rujuk Jais: Sultan


Tauliah diperlukan untuk sampaikan kuliah, khutbah di Selangor

SUNGAI BESAR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu penceramah yang dijemput berceramah di surau dan masjid di Selangor, dirujuk terlebih dulu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Baginda bertitah, ia adalah untuk memastikan hanya penceramah bertauliah dibenarkan berceramah, memberi kuliah, berkhutbah dan mengajar di surau serta masjid.

“Jais juga perlu menguatkuasakan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor (2003), Seksyen 119 iaitu untuk tindakan mengajar tanpa tauliah,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Parit 4 Sungai Haji Dorani, di sini semalam.

Hadir sama Mufti Negeri, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Baginda juga berharap masyarakat Islam mencontohi konsep dan fungsi masjid pada zaman permulaan Islam.

“Sepatutnya masjid bukan sekadar tempat beribadat setiap hari tetapi perlu mampu menjadi pusat belajar dan pusat rujukan kepada sebarang masalah keagamaan yang dihadapi masyarakat.

“Kualiti masjid perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa terutama dalam aspek pengurusan, kewangan, sokongan moral, keilmuan dan kecekapan pegawai masjid, bangunan dan kemudahan masjid,” titah baginda.

Selain itu, baginda menasihatkan masyarakat Islam mengamalkan sikap berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian seperti yang dituntut Islam terutama pada masa kini di mana harga barangan keperluan naik mendadak akibat kenaikan harga minyak.

“Beta menyeru rakyat Selangor sentiasa berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah supaya dapat menghadapi kenaikan harga barang ini dengan tenang dan sabar. Setiap rakyat perlu membeli atau mengutamakan barang yang benar-benar perlu saja bagi mengelakkan pembaziran,” titah baginda.

Masjid berkenaan dibina pada 2005 bagi menggantikan masjid lama yang tidak mampu menampung pertambahan jemaah di sekitar kawasan itu terutama ketika solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha.

Ia didirikan atas tanah wakaf seorang penduduk, Allahyarham Seman Sulaiman seluas 1.2 hektar dengan kos keseluruhan RM3.4 juta.