Selasa, 17 Jun 2008

Penceramah jemputan perlu rujuk Jais: Sultan


Tauliah diperlukan untuk sampaikan kuliah, khutbah di Selangor

SUNGAI BESAR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu penceramah yang dijemput berceramah di surau dan masjid di Selangor, dirujuk terlebih dulu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Baginda bertitah, ia adalah untuk memastikan hanya penceramah bertauliah dibenarkan berceramah, memberi kuliah, berkhutbah dan mengajar di surau serta masjid.

“Jais juga perlu menguatkuasakan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor (2003), Seksyen 119 iaitu untuk tindakan mengajar tanpa tauliah,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Parit 4 Sungai Haji Dorani, di sini semalam.

Hadir sama Mufti Negeri, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Baginda juga berharap masyarakat Islam mencontohi konsep dan fungsi masjid pada zaman permulaan Islam.

“Sepatutnya masjid bukan sekadar tempat beribadat setiap hari tetapi perlu mampu menjadi pusat belajar dan pusat rujukan kepada sebarang masalah keagamaan yang dihadapi masyarakat.

“Kualiti masjid perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa terutama dalam aspek pengurusan, kewangan, sokongan moral, keilmuan dan kecekapan pegawai masjid, bangunan dan kemudahan masjid,” titah baginda.

Selain itu, baginda menasihatkan masyarakat Islam mengamalkan sikap berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian seperti yang dituntut Islam terutama pada masa kini di mana harga barangan keperluan naik mendadak akibat kenaikan harga minyak.

“Beta menyeru rakyat Selangor sentiasa berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah supaya dapat menghadapi kenaikan harga barang ini dengan tenang dan sabar. Setiap rakyat perlu membeli atau mengutamakan barang yang benar-benar perlu saja bagi mengelakkan pembaziran,” titah baginda.

Masjid berkenaan dibina pada 2005 bagi menggantikan masjid lama yang tidak mampu menampung pertambahan jemaah di sekitar kawasan itu terutama ketika solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha.

Ia didirikan atas tanah wakaf seorang penduduk, Allahyarham Seman Sulaiman seluas 1.2 hektar dengan kos keseluruhan RM3.4 juta.

Tiada ulasan: