Sabtu, 30 Ogos 2008

Mesyuarat Pemilihan Pegawai dan AJK Masjid Al-Fa'izin



MASJID AL=FA'IZIN, 30 Ogos 2008 - Hari ini telah berlangsung Mesyuarat Pemilihan Pegawai dan Ahli-ahli Jawatankuasa Masjid Al-Fa'izin Desa Jaya / Kepong.

Seawal jam 8.00 pagi, ahli-ahli kariah telah hadir untuk mendaftarkan diri. Mereka yang mendaftar perlu menunjukkan kad pengenalan masing-masing untuk memastikan mereka adalah benar-benar ahli di dalam kariah Desa Jaya / Taman Ehsan.


Ahli-ahli kariah mendaftarkan diri.

Majlis perasmian hanya dimulakan jam 9.00 lebih setelah ketibaan Orang Besar Daerah Gombak, Dato' Paduka Raja Dato' Hj. Wan Mahmood Bin Pa' Wan Teh yang akan merasmikan mesyuarat pemilihan yang julung kali diadakan ini.

Majlis Perasmian

Us. Nisran selaku Pengacara Majlis mengalu-alukan tetamu serta ahli-ahli kariah yang hadir sebelum memberi laluan untuk bacaan doa bagi memohon keberkatan mesyuarat yang akan diadakan.


Us. Nisran mengalu-alukan jemputan dan para hadirin.

Seterusnya, Pentadbir Agama Daerah Gombak, Y. Bhg. Tn. Hj. Daim Bin Jajuli dipersilakan untuk memberikan ucapan pembukaannnya.

Dalam ucapannya, beliau bersyukur dan mengucapkan syabas kepada ahli-ahli kariah kerana dapat menjalankan mesyuarat pemilihan tersebut.

Katanya lagi, kebiasaannya hanya mesyuarat agung atau mesyuarat umum sahaja yang diadakan setiap tahun di masjid-masjid, tetapi pada hari ini, buat pertama kali mesyuarat pemilihan diadakan untuk memberi peluang kepada ahli-ahli kariah mencalonkan sendiri barisan pengurusan masjid yang mana selama ini barisan ahli jawatankuasa ditetapkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor sendiri.

Beliau juga menekankan, masjid adalah amanah Allah maka adalah ditegah untuk mengambil apa-apa walau sedikitpun untuk kepentingan peribadi.

Mengakhiri ucapannya, beliau mendoakan agar mesyuarat akan dapat berjalan dengan tenang.

Majlis seterusnya mempersilakan Orang Besar Daerah Gombak, Dato' Paduka Raja Dato' Hj. Wan Mahmood Bin Pa' Wan Teh memberikan ucapan perasmiannya.


Y. Bhg. Dato' Paduka Raja memberikan ucapan perasmian.

Memulakan ucapannya, Y. Bhg. Dato' Paduka Raja memohon kemaafan di atas kelewatannya tiba kerana telah tersilap jalan ketika dalam perjalanan.

Antara isi kandungan ucapannya, Y. Bhg. Dato' Paduka Raja membawa perhatian para hadirin kepada sejarah dan kisah yang berkaitan dengan keadaan Islam dan para penganutnya.

Sebagai contoh, Y. Bhg. Dato' Paduka Raja merujuk kepada keadaan orang-orang Islam di luar negara yang dari dulu sehingga kini masih lagi terkongkong dengan pelbagai tekanan yang menyukarkan mereka untuk mengembangkan syiar Islam.

Y. Bhg. Dato' Paduka Raja juga mengungkit sejarah satu persidangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Britain, William Gladstone. Persidangan tersebut merumuskan dua cara untuk menjatuhkan Islam iaitu dengan menjauhkan penganutnya dari Al-Quran dan melakukan strategi 'pecah dan perintah' terhadap negara-negara Islam di waktu itu.

Seterusnya Y. Bhg. Dato' Paduka Raja memberikan peringatan supaya jangan membenarkan agama itu dipengaruhi. Jika dipengaruhi, maka akan ada pihak yang membangkang. Bila ada yang membangkang, akan berlaku campurtangan pihak berkuasa. Bila berlaku pertelingkahan antara pihak yang berkuasa dan yang membangkang, maka di ketika itu agama akan menjadi lemah dan mudah dikuasai.

Memetik titah Tuanku Sultan, "Masjid adalah kawasan bebas. Jangan sekali-kali membawa politik ke dalam masjid. Jangan sekali-kali membawa perpecahan ke dalam masjid." Oleh sebab itulah Y. Bhg. Dato' Paduka Raja tealah meletakkan satu papan tanda peringatan pada pintu pagar masjid di tempatnya yang berbunyi, "Tinggalkan perbezaan diluar pagar, tinggalkan kasut dimuka tangga, tabung menunggu sumbangan anda, maka jadilah orang yang mulia."

Y. Bhg. Dato' Paduka Raja turut menasihatkan para hadirin supaya memilih calon yang benar-benar sanggup mengorbankan masa dan tenaganya demi untuk menegakkan syiar Islam bukannya memilih berdasarkan fahaman politik atau mengikut golongan tertentu.

Tepat jam 10.11 pagi, Y. Bhg. Dato' Paduka Raja Dato' Hj. Wan Mahmood Bin Pa' Wan Teh merasmikan Mesyuarat Pemilihan Pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Fa'izin Desa Jaya / Taman Ehsan.


Sedikit jamuan ringan sebelum mesyuarat bermula.

Mesyuarat Pemilihan

Mesyuarat pemilihan dipengerusikan oleh Pentadbir Agama Daerah Gombak, Y. Bhg. Tn. Hj. Daim Bin Jajuli.


Y. Bhg. Tn. Hj. Daim mempengerusikan mesyuarat.

Beliau mengisytiharkan bahawa jumlah keseluruhan ahli-ahli kariah yang hadir pada hari ini adalah seramai 227 orang.

Sejurus kemudian, Hj. Jamaluddin Md Isa, Pengerusi Persatuan Kebajikan Islam DJ/TE bangkit untuk bertanyakan soalan berkenaan langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak pengurusan masjid untuk mengenalpasti bahawa mereka yang hadir adalah benar-benar ahli kariah atau penduduk tetap kawasan ini. Beliau juga mempersoalkan kenapa Pengurus dan juga Timbalannya sendiri tidak menjaga kaunter pendaftaran.


Hj. Jamaluddin membangkitkan persoalan.

Menjawab pertanyaan Hj. Jamaluddin, Y. Bhg. Tn. Hj. Daim menyatakan semuanya adalah terpulang kepada kejujuran dan sifat amanah yang ada pada setiap ahli-ahli kariah yang hadir.

Mesyuarat diteruskan dengan agenda memilih seramai 25 orang untuk dicalonkan sebagai pegawai dan ahli-ahli jawatankuasa Masid Al-Fa'izin.

Mereka yang dicalonkan adalah :

Nazir 1 - Dr. Badrul Amin
Nazir 2 - Abdul Malik
Nazir 3 - Abdul Rahman
Timbalan Nazir - Hj. Bakri
Setiausaha - Hj. Abdul Ghani
Pen. Setiausaha - Hj. Husin
Bendahari - Hj. Osman
Imam 1 - Hj. Ayub Zambri
Imam 2 - Hj. Habib
Bilal 1 - Hj. Mahathir
Bilal 2 - Hj. Bidin
Siak 1 - Zulkifli
Siak 2 - Zulkarnain
AJK 1 - Hj. Omar
AJK 2 - Hj. Hussin
AJK 3 - Nasarudin
AJK 4 - Mohd Lazim
AJK 5 - Azizan
AJK 6 - Fazil Ismail
Wakil Pemuda - Khairul Abd. Rahman
Wakil Wanita - Hjh. Masri
Pemeriksa Kira-kira 1 - Hj. Omar
Pemeriksa Kira-kira 2 - Nordin Osman


Kiraan undi dijalankan.

Pencalonan ini akan dibawa ke pihak Jabatan Agama Islam Selangor, kemudian ke peringkat Majlis Agama Islam Selangor sebelum diperkenankan oleh DYMM Sultan Selangor.


Ahli-ahli kariah bersalaman dan bersurai.

Mesyuarat ditangguhkan tepat jam 12 tengahari.

Lihat Album :

Pemilihan Pegawai Dan AJK Masjid Al-Fa'izin

1 ulasan:

azharjaafar berkata...

Mudah-mudahan kita sama-sama dapat memakmurkan rumah Allah.