Jumaat, 18 April 2008

"MENANGANI GEJALA SOSIAL TANGGUNGJAWAB BERSAMA"

Khutbah Jumaat - 18 APRIL 2008

Muslimin yang dihormati Allah,

Saya berpesan diri saya dan tuan-tuan sekalian, bersamalah kita meningkatkan takwa kepada Allah s.w.t, dengan mentaati segala perintahNya dan menjauhi laranganNya. Sesungguhnya kebahagiaan dunia dan kesejahteraan akhirat hanyalah ditentukan oleh iman dan takwa.

Muslimin yang dimuliakan,

Minbar pada hari ini ingin menarik perhatian para jemaah mengenai satu tajuk, iaitu gejala sosial tanggungjawab bersama. Permasalahan gejala sosial merupakan isu sejagat yang melanda kehidupan manusia disepanjang zaman. Porak-peranda kehidupan masyarakat adalah berpunca daripada wujudnya golongan yang rosak akhlaknya, dengan membelakangkan agama dan mengutamakan runtunan hawa nafsu semata-mata.

Fenomena-fenomena keruntuhan akhlak dijelmakan melalui tabiat mensyirikkan Allah s.w.t, menagih arak, berjudi, berzina, memperalatkan wanita, berpoya-poya, cintakan hiburan yang melampau dan sebagainya. Disepanjang zaman, Rasulullah diutuskan oleh Allah s.w.t untuk membimbing manusia ke arah kehidupan yang sempurna dan berakhlak mulia. Sabda rasulullah s.a.w:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w diutuskan bagi menyempurnakan akhlak yang baik".

(Riwayat Ahmad)

Di negara kita, hampir setiap hari dipaparkan oleh media massa berbagai fenomena tentang gejala sosial yang sedang melanda masyarakat. Perlakuan buruk ini bukan hanya melibatkan golongan remaja tetapi juga dikalangan dewasa. Di antara beberapa fenomena gejala sosial yang amat membimbangkan kita ialah penagihan dadah, penagihan arak, bohsia, pergaulan tanpa batasan, seks bebas, mat rempit, penderaan kanak-kanak, rogol, suka melepak, hidup berpoya-poya dan sebagainya.

Fenomena ini telah mengancam pembangunan modal insan dan kesejahteraan hidup di negara kita. Di peringkat keluarga permasalahan ini telah menjejaskan masa depan sesebuah keluarga, kerana diganggu-gugat oleh anggota keluarga yang rosak akhlak. Ibu bapa berhadapan dengan pelbagai masalah seperti tekanan hidup dan kehabisan harta benda kerana ancaman kehendak nafsu jahat dikalangan segelintir anak-anak mereka.

Di peringkat masyarakat, gejala sosial ini telah mengancam kebahagiaan dan kesejahteraan hidup, kerana terpaksa menghadapi ancaman dan gangguan golongan perosak masyarakat ini.

Diperingkat negara, penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai kegiatan yang tidak bermoral bukan sahaja membazirkan jutaan ringgit, malah hilangnya tenaga-tenaga pelapis yang sepatutnya mewarisi kepimpinan negara. Mengikut laporan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan, sebanyak 19 juta ringgit setahun dibelanjakan untuk pemulihan penagih-penagih dadah di seluruh negara. Manakala Majlis AIDS Malaysia pula membelanjakan sejumlah 40 juta ringgit setahun untuk menangani mangsa-mangsa AIDS di seluruh negara.

Muslimin yang dimuliakan,

Berdasarkan pemerhatian daripada beberapa pihak, didapati masalah keruntuhan akhlak disebabkan oleh pelbagai punca yang kait-mengait. Diantaranya ialah kurangnya pengetahuan dan penghayatan agama dikalangan anggota masyarakat, kurang perihatin di kalangan segelintir ibu bapa terhadap anak-anak, pengaruh media massa dalam pelbagai aktiviti, hiburan yang melampau, kemunculan pusat-pusat hiburan yang tidak terkawal, pengaruh persekitaran, sikap hidup masyarakat yang individualistik dan lain-lain lagi.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada mana-mana pihak yang menjadi penyebab kepada suburnya gejala sosial ini, agar membuat muhasabah segera, bagi mengenal pasti kelemahan dan kesilapan masing-masing yang menyebabkan terjerumusnya sebahagian anggota masyarakat ke dalam kemelut gejala sosial. Di samping menentukan pelan tindakan ke arah mengurangkan kemunculan fenomena ini.

Sebagai individu muslim, kita perlu insaf, bahawa Islam mewajibkan kita sentiasa menghayati ajaran Islam dalam melakukan apa jua kegiatan dunia, yang tidak bertentangan dengan Islam. Banyak ayat Al-Quran memberi amaran bahawa Allah s.w.t akan mengadili hamba-hambanya walaupun kebajikan atau kejahatan dilakukannya itu sebesar zarah sekalipun.

Firman allah s.w.t:

"Barangsiapa yang mengerjakan kebajikan seberat zarah nescaya dia akan melihat balasannya dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah nescaya dia akan melihat balasannya pula".

Muslimin yang dimuliakan,

Sesungguhnya syariat Islam yang serba lengkap ini menyediakan pelbagai panduan kepada kita dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti kehidupan duniawi. Menghayati sepenuhnya panduan syariat Islam dalam sebarang kegiatan akan menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan kepada semua pihak di dunia dan di akhirat. Di samping itu, masyarakat akan mengalami kesusahan dan memperolehi kehinaan jika membelakangi tuntutan syarak.

Firman allah s.w.t:

"Mereka ditimpakan kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada "tali" daripada Allah (agama Allah) dan "tali" daripada manusia (berpegang janji dengan manusia), dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan daripada Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan".

Muslimin yang berbahagia,

Permasalahan keruntuhan akhlak pelbagai lapisan masyarakat juga dapat dikurangkan jika semua pihak memahami dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing, sebagai pemikul amanah Allah, iaitu kewajipan memakmurkan dunia ini dengan dasar, nilai dan falsafah keagamaan. Adalah menjadi tanggungjawab setiap muslim, walau dari apa juga latar belakang kerjaya memikul amanah Allah dengan memastikan apa jua aktiviti dan kegiatan mestilah berlandaskan semangat ibadah.

Sesungguhnya tuntutan membina nilai agama dalam kehidupan ini adalah tanggungjawab setiap muslim, tidak kira samada mereka ahli politik, sainstis, tokoh budaya, tokoh sukan, para usahawan dan sebagainya, Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 104:

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan. Menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung".

Kesedaran melaksanakan amar makruf semakin lemah mutakhir ini, lazimkanlah budaya mengambil tahu permasalahan orang lain yang bertujuan untuk menyelamat dan membahagiakan orang lain. Seperti mana keselamatan dan kebahagiaan yang kita inginkan. Inilah sebenarnya prinsip hidup bermasyarakat yang telah mengangkat martabat umat Islam di zaman kegemilangan.

Akhirnya minbar jumaat hari ini menyeru, marilah sama-sama kita menginsafi kekurangan dan kelemahan kita selama ini dalam melaksanakan kewajipan kita sebagai pemikul amanah Allah, sehingga kita dihadapkan dengan ancaman gejala sosial yang menggerunkan ini. Mudah-mudahan dengan keinsafan itu, kita akan mengorak langkah secara bersepadu untuk menghadapi ancaman gejala sosial yang semakin parah ini. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua anggota masyarakat agar menangani masalah ini daripada terus berleluasa. Adalah tidak wajar sama sekali di kalangan kita saling menuding jari menyalahkan satu sama lain, tanpa memberikan sebarang sumbangan dalam menghadapi ancaman ini.

"Wahai orang yang beriman!, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya). Mereka menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

(At-Tarmizi ayat 6)

Ya Allah, Engkaulah tuhan yang Maha Berkuasa, kami bersyukur kehadratMu telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju dan sejahtera. Tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budipekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianMu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

1 ulasan:

Waliar berkata...

Artikel bertajuk "Menangani Gejala Sosial Tanggungjawab Bersama" dan keseluruhan artikel menyentuh dan mengulas ayat-ayat Al Quran shaja tanpa mengaitkan siapakah yang bertanggungjawab. Nyatakan siapakah yang bertanggungawab, apakah yang perlu dilakukan, bagaimana perlu dijalankan, bila, dan sebagainyalah lagi. Artikel ini perlu ditukar tajuk iaitu "Nas-Nas Yang Menyatakan Peri Pentingnya Tanggungjawab Kita Menangani Gejala Sosial"...bkan begitu? Sekian Terima Kasih.