Selasa, 22 April 2008

Masjid jadi paksi kepada agenda Islam

MASJID menjadi syiar umat Islam dan kerana itu pembangunan institusi masjid perlu dijadikan agenda utama. Masjid menjadi tempat pertemuan seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa, warna kulit dan darjat.

Perkataan masjid bermaksud tempat bersujud, yakni tempat bersembahyang. Namun, masjid tidak harus diertikan sebagai tempat sembahyang saja. Masjid membawa pengertian luas sebagai pusat melahirkan insan cemerlang.

Tidak ada individu yang boleh dihalang daripada hadir ke masjid, melainkan diketahui niatnya untuk melakukan sesuatu perbuatan ditegah. Bukan Islam juga dibenarkan hadir atau melawat masjid dengan syarat tidak melakukan perbuatan yang mencemarkan kesucian masjid.

Sesungguhnya masjid mempunyai peranan penting menjadi medan menyatukan seluruh orang beriman tanpa mengira kaum, darjat dan kekayaan. Semua hamba-Nya mempunyai niat yang sama apabila berada di masjid, yakni mengabdikan diri kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: “Hanya sesungguhnya orang yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu ialah mereka yang beriman pada hari akhirat, serta mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah. Dengan sifat itu mudah-mudahan mereka menjadi golongan yang mendapat hidayah.” (Surah at-Taubah, ayat 18)

Masjid menjadi lambang kepada kewujudan kelompok umat Islam di sesuatu tempat. Di masjid akan mengumpulkan segala kekuatan umat Islam untuk mengamalkan dan menyebarkan agama tauhid.

Masjid menjadi tempat utama membina asas modal insan. Setiap kali hadir di masjid akan terbentuk nilai baik dalam diri. Graduan masjid mempunyai ciri Muslim sejati.

Sejarah membuktikan, apabila Rasulullah SAW sampai di Madinah, perkara pertama dilakukan ialah mendirikan masjid. Rasulullah SAW menggunakan tanda garisan atas pasir sebagai kawasan masjid. Kemudian baru dibina dinding, lantai dan atap menggunakan pelepah tamar. Baginda turut sama dengan sahabat bekerja dan mengangkat sendiri batu-bata ketika membinanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Telah dijadikan untukku (dan umatku) bumi sebagai masjid dan menjadi segala penyuci diri.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila Islam tersebar di serata tempat, mercu yang jelas kelihatan di situ ialah masjid. Malah, masjid menjadi permata tersebarnya pelbagai bidang ilmu. Perkara ini berlaku ketika Islam berkembang di Andalusia.

Ketika itu masjid menjadi institusi penting penyebaran ilmu dan membina peradaban manusia. Masyarakat di benua Eropah yang ketika itu hidup dalam kegelapan mula berasai sinar kebenaran ilmu.

Bermula dari masjid lahir kekuatan dan keimanan setiap Muslim. Kehadiran beramai-ramai di masjid menjadi lambang perpaduan umat Islam. Setiap Muslim menghadirkan diri di masjid mempunyai matlamat menzahirkan ketakwaan kepada Allah.

Muslim takwa sentiasa mengunjungi masjid. Masjid menjadi tempat terbaik untuk beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah. Justeru, orang yang benar-benar menghadirkan diri ke masjid dengan niat ikhlas sentiasa menjaga tutur kata dan tingkah laku supaya tidak melanggar adab di masjid.

Firman Allah bermaksud: “(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah ibadat yang diperintah Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diingatkan nama Allah padanya, di situ juga dikerjakan ibadat dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.” (Surah an-Nur, ayat 26)

Sesiapa hadir di masjid hendaklah dalam keadaan dirinya bersih zahir dan batin. Sebab itu, digalakkan sesiapa mengunjungi masjid memakai pakaian cantik dan indah. Disunatkan juga ketika mengunjungi masjid memakai wangian.

Firman Allah bermaksud: “Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah apabila ke masjid.” (Surah al-Araf, ayat 31)

Demi menjaga kesucian masjid, perkara baik diharuskan dan digalakkan dilakukan di tempat lain, ditegah dilakukan di masjid seperti urusan berjual beli.

Pada zaman Rasulullah SAW, masjid menjadi medan pelbagai kegiatan memberi manfaat kepada umat Islam dan negara. Selain sebagai tempat ibadat, masjid juga menjadi mahkamah, sekolah, pejabat, dewan mesyuarat dan baitulmal.

Kepelbagaian fungsi masjid pada zaman Rasulullah SAW banyak kebaikannya. Hal itu menyatukan seluruh kekuatan umat Islam pada satu tempat. Segala urusan dapat dilakukan dengan cepat dan teratur kerana ia dikendalikan sendiri oleh Rasulullah SAW.

Masjid adalah pejabat Rasulullah SAW mentadbir segala perkara berkaitan umat Islam dan negara. Masjid adalah tempat mengeratkan persaudaraan dan mencari keredaan Allah.

Ketika hadir di masjid, segala sikap buruk perlu dikikis.

Perbuatan menguasai masjid untuk kepentingan golongan tertentu samalah memusnahkan fungsi sebenar masjid. Sikap itu dianggap sebagai meruntuhkan masjid. Maha pedih pembalasan Allah terhadap sesiapa melakukan perbuatan itu.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menghalangi masjid Allah untuk disebut nama Allah dalamnya, dan berusaha pula untuk meruntuhkan masjid itu? Orang yang demikian tidak sepatutnya masuk masjid itu melainkan dalam keadaan orang yang takutkan Allah. Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.” (Surah al-Baqarah, ayat 114)

Aktiviti di masjid yang semakin suram perlu ditingkatkan. Masjid perlu menjadi institusi penting dan dapat menarik minat umat Islam mengunjunginya dengan mengadakan pelbagai aktiviti. Masjid perlu dijadikan kedudukan yang amat tinggi di dalam jiwa umat Islam.

Golongan muda perlu ‘dipujuk’ supaya sentiasa mendampingi masjid melalui aktiviti yang diadakan. Masjid di negara ini perlu mempelbagaikan fungsi selain mempertingkatkan program supaya dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Sumber : Berita Harian, 22 April 2008

1 ulasan:

Waliar berkata...

Masjid Al Faizin juga wajib memainkan peranan sebagai paksi kesatuan umat Islam, bukan menjadi sebahagian dari penyumbang kepada pecahbelah kepada umat Islam khususnya kepada kariah Desa Jaya/Taman Ehsan yang pernah berlaku sebelum ini.