Selasa, 17 Jun 2008

Mais sedia serah semula pentadbiran 7 masjid

Kariah akan dibenar ambil alih urus tadbir dengan syarat semua kes saman ditarik balik

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan menyerahkan semula tujuh masjid serta dua surau yang ditadbir mereka selepas diambil alih daripada kariah rumah ibadat berkenaan, dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Timbalan Setiausaha Mais, Abdul Halem Hapiz Salihin dalam kenyataannya yang difakskan ke Berita Harian, semalam, berkata itu akan dilakukan jika semua saman yang difailkan kariah terhadap Mais, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Ahli Jawatankuasa (AJK) lama serta Kerajaan Selangor, ditarik balik.

Tujuh masjid berkenaan ialah Masjid Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh; Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya; Masjid Al-Hidayah, Kelana Jaya; Masjid Mujahideen, Damansara Utama; Masjid Al-Mukarramah, Bandar Seri Damansara; Masjid Al-Munawarrah, Seksyen 27 Shah Alam dan Masjid Al-Faizin, Desa Jaya, Kepong, manakala dua surau pula membabitkan Al-Madaniah, USJ 18, Subang Jaya dan Ar-Rahman, Seksyen 8, Shah Alam.

Kenyataan itu juga menyebut keputusan itu dibuat dalam Persidangan Mais kelmarin dipengerusikan Pengerusi Mais, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

"Turut diputuskan ialah, selain mematuhi peruntukan Kaedah-kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) 1995 (Pindaan) 2001, pandangan ahli kariah sesuatu masjid atau surau untuk pemilihan pegawai serta AJK masjid hendaklah diambil kira.

"Mais turut menetapkan kriteria baru untuk pemilihan calon pegawai masjid serta AJK masjid dengan menambahbaik syarat kelayakan seperti umur calon, tinggal tetap dalam kariah masjid, akhlak mulia selain kelayakan minimum," katanya.

Pada masa sama, Mais turut bersetuju mengekalkan jawatan Pengurus, Timbalan Pengurus dan Penolong Pengurus sebagai imam, bilal dan siak manakala pelantikan nazir serta AJK baru hendaklah mengikut peruntukan Kaedah-kaedah Pegawai Masjid dan Jawatankuasa Kariah (Negeri Selangor) 1995 (Pindaan) 2001.

Beliau berkata, persetujuan Mais untuk menyusun semula jawatankuasa di bawah seliaan Mais ialah untuk penambahbaikkan mengikut kepakaran dan pengalaman ahli yang dilantik selaras dengan prinsip ketelusan dan urus tadbir yang baik.

Katanya, ia juga bertujuan untuk mengelakkan pertindihan fungsi, perselisihan kepentingan dan sebagai langkah interim untuk menambahbaik struktur dan perjalanan organisasi Mais.

Kenyataan itu juga menyebut Mais bersetuju untuk mencelah dalam permohonan semakan kehakiman difailkan oleh Titular Roman Catholik Archbishop terhadap Menteri Keselamatan Dalam negeri dan Kerajaan Malaysia untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan dibuat oleh orang bukan Islam.

"Mais akan mencelah untuk menyatakan bantahan terhadap permohonan itu dan sudah melantik peguam untuk mewakili Mais.

"Selain itu, Mais turut bersetuju dengan keputusan mesyuarat Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak/Sivil kali ke 18 yang memutuskan supaya orang bukan islam yang hendak memeluk Islam tidak perlu memaklumkan kepada mereka sebelum memeluk Islam, melainkan secara sukarela," katanya.

Satu lagi kata putus penting dibuat dalam Persidangan Mais kelmarin ialah terus mempertahankan kedaulatan institusi raja dan kesucian agama Islam selain menjunjung taat setia kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebagai ketua agama Islam negeri itu.

- Berita Harian

Penceramah jemputan perlu rujuk Jais: Sultan


Tauliah diperlukan untuk sampaikan kuliah, khutbah di Selangor

SUNGAI BESAR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu penceramah yang dijemput berceramah di surau dan masjid di Selangor, dirujuk terlebih dulu kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Baginda bertitah, ia adalah untuk memastikan hanya penceramah bertauliah dibenarkan berceramah, memberi kuliah, berkhutbah dan mengajar di surau serta masjid.

“Jais juga perlu menguatkuasakan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor (2003), Seksyen 119 iaitu untuk tindakan mengajar tanpa tauliah,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Parit 4 Sungai Haji Dorani, di sini semalam.

Hadir sama Mufti Negeri, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Baginda juga berharap masyarakat Islam mencontohi konsep dan fungsi masjid pada zaman permulaan Islam.

“Sepatutnya masjid bukan sekadar tempat beribadat setiap hari tetapi perlu mampu menjadi pusat belajar dan pusat rujukan kepada sebarang masalah keagamaan yang dihadapi masyarakat.

“Kualiti masjid perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa terutama dalam aspek pengurusan, kewangan, sokongan moral, keilmuan dan kecekapan pegawai masjid, bangunan dan kemudahan masjid,” titah baginda.

Selain itu, baginda menasihatkan masyarakat Islam mengamalkan sikap berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian seperti yang dituntut Islam terutama pada masa kini di mana harga barangan keperluan naik mendadak akibat kenaikan harga minyak.

“Beta menyeru rakyat Selangor sentiasa berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah supaya dapat menghadapi kenaikan harga barang ini dengan tenang dan sabar. Setiap rakyat perlu membeli atau mengutamakan barang yang benar-benar perlu saja bagi mengelakkan pembaziran,” titah baginda.

Masjid berkenaan dibina pada 2005 bagi menggantikan masjid lama yang tidak mampu menampung pertambahan jemaah di sekitar kawasan itu terutama ketika solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha.

Ia didirikan atas tanah wakaf seorang penduduk, Allahyarham Seman Sulaiman seluas 1.2 hektar dengan kos keseluruhan RM3.4 juta.