Selasa, 22 April 2008

Jangan abai solat berjemaah

UTUSAN: Apakah kedudukan masjid dalam Islam dan kelebihan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi?

Shaikh Ismail: Masjid adalah tempat yang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam. Ia juga adalah salah satu daripada syiar agama kita yang Maha Agung ini.

Malah ada hadis yang menyebut, "bandar yang di dalamnya terdapat lebih banyak masjid daripada gedung perniagaan adalah lebih diberkati".

Tentang Masjidil Haram dan Masjid Nabawi ini, Rasulullah SAW bersabda: Pahala solat di masjidku ini adalah 1,000 kali lebih baik daripada solat di lain-lain masjid kecuali di Masjidil Haram. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam satu riwayat Jabir bin Abdullah r.a. Rasulullah SAW bersabda, "Solat di masjidku ini lebih afdal dari 1,000 solat di masjid lainnya kecuali masjid Haram, dan solat di masjid Haram lebih afdal dari 100,000 solat di masjid lainnya". (riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).

Dalam ayat 35 surah al-Hajj dijelaskan bahawa apabila disebut nama Allah maka gementarlah hati mereka. Bagaimana nak mencapai tahap ini?

SHAIKH ISMAIL: Ini adalah antara ciri tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah di akhirat kelak. Iaitulah orang yang sentiasa menunggu-nunggu waktu solat yang akan datang setiap kali selepas selesai solat.

Untuk mencapai tahap begini, ia perlukan kepada didikan dan asuhan sejak kecil. Dalam hal ini, peranan ibu bapa sangat penting. Anak-anak hendaklah sentiasa dididik melalui pendekatan dakwah bil hal iaitu melalui contoh oleh ibu bapa.

Jika ke masjid jangan lupa bawa bersama anak-anak. Kerah mereka jangan pula hanya ibu bapa ke masjid anak-anak dibiarkan di rumah.

Kalau di sekolah, guru-guru boleh memainkan peranan. Wajibkan mereka solat berjemaah di surau atau masjid di institusi pengajian tinggi pun serupa. Lagipun, mereka yang berjaya selalunya adalah golongan yang istiqamah dalam ibadat terutama solat berjemaah.

Didikan yang berterusan pada usia kanak-kanak selalunya berjaya memupuk budaya cintakan masjid. Sebab itu, ada kejayaan sekolah-sekolah berasrama dalam membentuk remaja yang kekal solat berjemaah di masjid atau surau.

Salah satu perkara yang terus menjadi perbahasan ialah mengasingkan kanak-kanak daripada bapa semasa solat. Ini adakalanya menjadi penghalang proses mentarbiah anak-anak ke masjid. Apakah pendekatan terbaik dalam hal ini?

SHAIKH ISMAIL: Kaedah fikah telah menetapkan kedudukan saf dalam berjemaah iaitu lelaki, kanak-kanak dan kemudian wanita. Ini bermakna kita mengalu-alukan kanak-kanak datang berjemaah.

Ibu bapa pula perlu memberi nasihat kepada anak masing-masing supaya menjaga adab dan disiplin di masjid agar tidak mengganggu jemaah lain beribadat. Barangkali umur paling sesuai membawa anak ke masjid ialah 7 tahun sebagai mana hadis Rasulullah yang menyuruh ajarkan anak kamu solat ketika umurnya 7 tahun.

Kalau masih terlalu kecil, elok mereka dilatih di rumah dahulu tentang adab solat berjemaah dan tidak bising semasa kita solat.

Kita sentiasa mengalu-alukan ibu bapa yang membawa anak-anak yang sudah diasuh tentang adab dan tingkah laku berada di majlis. Apa yang menjadi masalah kepada para pegawai masjid ialah sikap sebilangan ibu bapa yang lepas tangan dan biarkan sahaja anak mereka berlari-lari membuat bising di masjid.

Banyak masjid kini menyediakan pelbagai program ilmu sama ada fardu ain atau fardu kifayah. Malah kita juga suka kalau anak-anak datang bermain di kawasan masjid seperti main bola, sepak takraw. Cuma mereka mestilah menutup aurat dan apabila masuk waktu solat hendaklah sama-sama tunaikan solat secara berjemaah.

Pendekatan sebegini lama-kelamaan akan menarik mereka sentiasa mahu berdamping dengan rumah Allah dan bukannya menjauhkan diri daripada masjid.

Dalam hal ini, Rasulullah pernah bersabda, Dan dari Aisyah r.a ia berkata, Saya melihat Rasulullah menutupi saya waktu saya melihat orang Habsyah bermain (pedang) di masjid. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Kalau kita lihat di Masjidil Haram atau Nabawi, jemaah boleh beriktikaf malah tidur di dalamnya. Adakah jika masjid-masjid kita turut membenarkan perbuatan ini boleh menarik lebih ramai mengunjunginya?

SHAIKH ISMAIL: Masjid di negara kita pun memang benarkan tidur untuk beriktikaf. Cuma jangan sampai ada yang mengambil kesempatan disebabkan contohnya ada pendingin hawa maka dia datang ke masjid lalu tidur.

Kita suka kalau ramai yang beriktikaf di masjid, baca al-Quran dan tunaikan solat-solat sunat setidak-tidaknya tahiyatul masjid. Itu memang bagus.

Lagipun di Masjid Negara ini kita sentiasa menerima lawatan pelancong, jadi kalau umat Islam sentiasa ramai yang beriktikaf dan solat tahiyatul masjid, barulah ada adab berada di rumah Allah.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW, Apabila seseorang di antara kamu masuk ke masjid, maka janganlah ia duduk sebelum ia solat dua rakaat. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Bolehkah datuk jelaskan ayat 18 surah at-Taubah Allah jelaskan kriteria orang yang memakmurkan masjid?

SHAIKH ISMAIL: Ayat itu bermaksud, Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut), mudah-mudahan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk. (at-Taubah: 18)

Antara faktor yang boleh mencapai tahap ini ialah menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau. Solat berjemaah juga menjadikan kita lebih peka kepada rakan-rakan. Contohnya, apabila ada di antara rakan yang tidak hadir berjemaah maka kita akan bertanya di manakah beliau, adakah sihat atau sakit dan sebagainya.

Cuma yang nak saya sebutkan di sini ialah majoriti umat Islam di negara kita menunaikan solat. Apa yang kurang diamalkan ialah solat berjemaah. Kita sering lihat orang Islam solat di pasar raya semasa membeli-belah, di kawasan rehat dan rawat lebuh raya dan juga di lapangan terbang.

Sayangnya, mereka pilih untuk solat bersendirian sedangkan solat berjemaah itu pahalanya 27 kali ganda berbanding solat sendirian. Tambahan pula, solat berjemaah itu hukumnya fardu kifayah.

Kalau kita lihat masyarakat Islam dahulu, mereka berkorban untuk mengimarahkan masjid dan surau. Masjid dahulu kedudukannya agak jauh dari rumah dan hanya menggunakan pelita atau lampu ayam. Orang tua-tua dahulu pun majoritinya tidak mempunyai kenderaan tetapi mereka tetap berusaha datang berjemaah.

Kini majoriti kita lebih mewah berbanding masyarakat dulu. Masing-masing mempunyai kenderaan baik motosikal atau kereta. Jadi, tiada alasan untuk kita tidak ke masjid solat berjemaah. Malah, Allah juga telah berjanji bahawa setiap sen yang dibelanjakan untuk jalan-Nya akan diganti.

Lagipun, kalau bersendirian, adakalanya datang rasa malas untuk solat pada awal waktu. Sebaliknya apabila berjemaah bukan sahaja kita solat di awal waktu tetapi kita juga lebih khusyuk. Selepas solat, kita boleh pula melakukan ibadat sunat yang lain seperti solat sunat atau membaca al-Quran.

Sumber : Utusan Malaysia, 22 April 2008

Masjid jadi paksi kepada agenda Islam

MASJID menjadi syiar umat Islam dan kerana itu pembangunan institusi masjid perlu dijadikan agenda utama. Masjid menjadi tempat pertemuan seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa, warna kulit dan darjat.

Perkataan masjid bermaksud tempat bersujud, yakni tempat bersembahyang. Namun, masjid tidak harus diertikan sebagai tempat sembahyang saja. Masjid membawa pengertian luas sebagai pusat melahirkan insan cemerlang.

Tidak ada individu yang boleh dihalang daripada hadir ke masjid, melainkan diketahui niatnya untuk melakukan sesuatu perbuatan ditegah. Bukan Islam juga dibenarkan hadir atau melawat masjid dengan syarat tidak melakukan perbuatan yang mencemarkan kesucian masjid.

Sesungguhnya masjid mempunyai peranan penting menjadi medan menyatukan seluruh orang beriman tanpa mengira kaum, darjat dan kekayaan. Semua hamba-Nya mempunyai niat yang sama apabila berada di masjid, yakni mengabdikan diri kepada Allah.

Firman Allah bermaksud: “Hanya sesungguhnya orang yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu ialah mereka yang beriman pada hari akhirat, serta mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah. Dengan sifat itu mudah-mudahan mereka menjadi golongan yang mendapat hidayah.” (Surah at-Taubah, ayat 18)

Masjid menjadi lambang kepada kewujudan kelompok umat Islam di sesuatu tempat. Di masjid akan mengumpulkan segala kekuatan umat Islam untuk mengamalkan dan menyebarkan agama tauhid.

Masjid menjadi tempat utama membina asas modal insan. Setiap kali hadir di masjid akan terbentuk nilai baik dalam diri. Graduan masjid mempunyai ciri Muslim sejati.

Sejarah membuktikan, apabila Rasulullah SAW sampai di Madinah, perkara pertama dilakukan ialah mendirikan masjid. Rasulullah SAW menggunakan tanda garisan atas pasir sebagai kawasan masjid. Kemudian baru dibina dinding, lantai dan atap menggunakan pelepah tamar. Baginda turut sama dengan sahabat bekerja dan mengangkat sendiri batu-bata ketika membinanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Telah dijadikan untukku (dan umatku) bumi sebagai masjid dan menjadi segala penyuci diri.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila Islam tersebar di serata tempat, mercu yang jelas kelihatan di situ ialah masjid. Malah, masjid menjadi permata tersebarnya pelbagai bidang ilmu. Perkara ini berlaku ketika Islam berkembang di Andalusia.

Ketika itu masjid menjadi institusi penting penyebaran ilmu dan membina peradaban manusia. Masyarakat di benua Eropah yang ketika itu hidup dalam kegelapan mula berasai sinar kebenaran ilmu.

Bermula dari masjid lahir kekuatan dan keimanan setiap Muslim. Kehadiran beramai-ramai di masjid menjadi lambang perpaduan umat Islam. Setiap Muslim menghadirkan diri di masjid mempunyai matlamat menzahirkan ketakwaan kepada Allah.

Muslim takwa sentiasa mengunjungi masjid. Masjid menjadi tempat terbaik untuk beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah. Justeru, orang yang benar-benar menghadirkan diri ke masjid dengan niat ikhlas sentiasa menjaga tutur kata dan tingkah laku supaya tidak melanggar adab di masjid.

Firman Allah bermaksud: “(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah ibadat yang diperintah Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diingatkan nama Allah padanya, di situ juga dikerjakan ibadat dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.” (Surah an-Nur, ayat 26)

Sesiapa hadir di masjid hendaklah dalam keadaan dirinya bersih zahir dan batin. Sebab itu, digalakkan sesiapa mengunjungi masjid memakai pakaian cantik dan indah. Disunatkan juga ketika mengunjungi masjid memakai wangian.

Firman Allah bermaksud: “Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah apabila ke masjid.” (Surah al-Araf, ayat 31)

Demi menjaga kesucian masjid, perkara baik diharuskan dan digalakkan dilakukan di tempat lain, ditegah dilakukan di masjid seperti urusan berjual beli.

Pada zaman Rasulullah SAW, masjid menjadi medan pelbagai kegiatan memberi manfaat kepada umat Islam dan negara. Selain sebagai tempat ibadat, masjid juga menjadi mahkamah, sekolah, pejabat, dewan mesyuarat dan baitulmal.

Kepelbagaian fungsi masjid pada zaman Rasulullah SAW banyak kebaikannya. Hal itu menyatukan seluruh kekuatan umat Islam pada satu tempat. Segala urusan dapat dilakukan dengan cepat dan teratur kerana ia dikendalikan sendiri oleh Rasulullah SAW.

Masjid adalah pejabat Rasulullah SAW mentadbir segala perkara berkaitan umat Islam dan negara. Masjid adalah tempat mengeratkan persaudaraan dan mencari keredaan Allah.

Ketika hadir di masjid, segala sikap buruk perlu dikikis.

Perbuatan menguasai masjid untuk kepentingan golongan tertentu samalah memusnahkan fungsi sebenar masjid. Sikap itu dianggap sebagai meruntuhkan masjid. Maha pedih pembalasan Allah terhadap sesiapa melakukan perbuatan itu.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menghalangi masjid Allah untuk disebut nama Allah dalamnya, dan berusaha pula untuk meruntuhkan masjid itu? Orang yang demikian tidak sepatutnya masuk masjid itu melainkan dalam keadaan orang yang takutkan Allah. Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.” (Surah al-Baqarah, ayat 114)

Aktiviti di masjid yang semakin suram perlu ditingkatkan. Masjid perlu menjadi institusi penting dan dapat menarik minat umat Islam mengunjunginya dengan mengadakan pelbagai aktiviti. Masjid perlu dijadikan kedudukan yang amat tinggi di dalam jiwa umat Islam.

Golongan muda perlu ‘dipujuk’ supaya sentiasa mendampingi masjid melalui aktiviti yang diadakan. Masjid di negara ini perlu mempelbagaikan fungsi selain mempertingkatkan program supaya dapat memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

Sumber : Berita Harian, 22 April 2008

Jumaat, 18 April 2008

"MENANGANI GEJALA SOSIAL TANGGUNGJAWAB BERSAMA"

Khutbah Jumaat - 18 APRIL 2008

Muslimin yang dihormati Allah,

Saya berpesan diri saya dan tuan-tuan sekalian, bersamalah kita meningkatkan takwa kepada Allah s.w.t, dengan mentaati segala perintahNya dan menjauhi laranganNya. Sesungguhnya kebahagiaan dunia dan kesejahteraan akhirat hanyalah ditentukan oleh iman dan takwa.

Muslimin yang dimuliakan,

Minbar pada hari ini ingin menarik perhatian para jemaah mengenai satu tajuk, iaitu gejala sosial tanggungjawab bersama. Permasalahan gejala sosial merupakan isu sejagat yang melanda kehidupan manusia disepanjang zaman. Porak-peranda kehidupan masyarakat adalah berpunca daripada wujudnya golongan yang rosak akhlaknya, dengan membelakangkan agama dan mengutamakan runtunan hawa nafsu semata-mata.

Fenomena-fenomena keruntuhan akhlak dijelmakan melalui tabiat mensyirikkan Allah s.w.t, menagih arak, berjudi, berzina, memperalatkan wanita, berpoya-poya, cintakan hiburan yang melampau dan sebagainya. Disepanjang zaman, Rasulullah diutuskan oleh Allah s.w.t untuk membimbing manusia ke arah kehidupan yang sempurna dan berakhlak mulia. Sabda rasulullah s.a.w:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w diutuskan bagi menyempurnakan akhlak yang baik".

(Riwayat Ahmad)

Di negara kita, hampir setiap hari dipaparkan oleh media massa berbagai fenomena tentang gejala sosial yang sedang melanda masyarakat. Perlakuan buruk ini bukan hanya melibatkan golongan remaja tetapi juga dikalangan dewasa. Di antara beberapa fenomena gejala sosial yang amat membimbangkan kita ialah penagihan dadah, penagihan arak, bohsia, pergaulan tanpa batasan, seks bebas, mat rempit, penderaan kanak-kanak, rogol, suka melepak, hidup berpoya-poya dan sebagainya.

Fenomena ini telah mengancam pembangunan modal insan dan kesejahteraan hidup di negara kita. Di peringkat keluarga permasalahan ini telah menjejaskan masa depan sesebuah keluarga, kerana diganggu-gugat oleh anggota keluarga yang rosak akhlak. Ibu bapa berhadapan dengan pelbagai masalah seperti tekanan hidup dan kehabisan harta benda kerana ancaman kehendak nafsu jahat dikalangan segelintir anak-anak mereka.

Di peringkat masyarakat, gejala sosial ini telah mengancam kebahagiaan dan kesejahteraan hidup, kerana terpaksa menghadapi ancaman dan gangguan golongan perosak masyarakat ini.

Diperingkat negara, penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai kegiatan yang tidak bermoral bukan sahaja membazirkan jutaan ringgit, malah hilangnya tenaga-tenaga pelapis yang sepatutnya mewarisi kepimpinan negara. Mengikut laporan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan, sebanyak 19 juta ringgit setahun dibelanjakan untuk pemulihan penagih-penagih dadah di seluruh negara. Manakala Majlis AIDS Malaysia pula membelanjakan sejumlah 40 juta ringgit setahun untuk menangani mangsa-mangsa AIDS di seluruh negara.

Muslimin yang dimuliakan,

Berdasarkan pemerhatian daripada beberapa pihak, didapati masalah keruntuhan akhlak disebabkan oleh pelbagai punca yang kait-mengait. Diantaranya ialah kurangnya pengetahuan dan penghayatan agama dikalangan anggota masyarakat, kurang perihatin di kalangan segelintir ibu bapa terhadap anak-anak, pengaruh media massa dalam pelbagai aktiviti, hiburan yang melampau, kemunculan pusat-pusat hiburan yang tidak terkawal, pengaruh persekitaran, sikap hidup masyarakat yang individualistik dan lain-lain lagi.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada mana-mana pihak yang menjadi penyebab kepada suburnya gejala sosial ini, agar membuat muhasabah segera, bagi mengenal pasti kelemahan dan kesilapan masing-masing yang menyebabkan terjerumusnya sebahagian anggota masyarakat ke dalam kemelut gejala sosial. Di samping menentukan pelan tindakan ke arah mengurangkan kemunculan fenomena ini.

Sebagai individu muslim, kita perlu insaf, bahawa Islam mewajibkan kita sentiasa menghayati ajaran Islam dalam melakukan apa jua kegiatan dunia, yang tidak bertentangan dengan Islam. Banyak ayat Al-Quran memberi amaran bahawa Allah s.w.t akan mengadili hamba-hambanya walaupun kebajikan atau kejahatan dilakukannya itu sebesar zarah sekalipun.

Firman allah s.w.t:

"Barangsiapa yang mengerjakan kebajikan seberat zarah nescaya dia akan melihat balasannya dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah nescaya dia akan melihat balasannya pula".

Muslimin yang dimuliakan,

Sesungguhnya syariat Islam yang serba lengkap ini menyediakan pelbagai panduan kepada kita dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti kehidupan duniawi. Menghayati sepenuhnya panduan syariat Islam dalam sebarang kegiatan akan menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan kepada semua pihak di dunia dan di akhirat. Di samping itu, masyarakat akan mengalami kesusahan dan memperolehi kehinaan jika membelakangi tuntutan syarak.

Firman allah s.w.t:

"Mereka ditimpakan kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada "tali" daripada Allah (agama Allah) dan "tali" daripada manusia (berpegang janji dengan manusia), dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan daripada Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan".

Muslimin yang berbahagia,

Permasalahan keruntuhan akhlak pelbagai lapisan masyarakat juga dapat dikurangkan jika semua pihak memahami dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing, sebagai pemikul amanah Allah, iaitu kewajipan memakmurkan dunia ini dengan dasar, nilai dan falsafah keagamaan. Adalah menjadi tanggungjawab setiap muslim, walau dari apa juga latar belakang kerjaya memikul amanah Allah dengan memastikan apa jua aktiviti dan kegiatan mestilah berlandaskan semangat ibadah.

Sesungguhnya tuntutan membina nilai agama dalam kehidupan ini adalah tanggungjawab setiap muslim, tidak kira samada mereka ahli politik, sainstis, tokoh budaya, tokoh sukan, para usahawan dan sebagainya, Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 104:

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan. Menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang munkar, merekalah orang-orang yang beruntung".

Kesedaran melaksanakan amar makruf semakin lemah mutakhir ini, lazimkanlah budaya mengambil tahu permasalahan orang lain yang bertujuan untuk menyelamat dan membahagiakan orang lain. Seperti mana keselamatan dan kebahagiaan yang kita inginkan. Inilah sebenarnya prinsip hidup bermasyarakat yang telah mengangkat martabat umat Islam di zaman kegemilangan.

Akhirnya minbar jumaat hari ini menyeru, marilah sama-sama kita menginsafi kekurangan dan kelemahan kita selama ini dalam melaksanakan kewajipan kita sebagai pemikul amanah Allah, sehingga kita dihadapkan dengan ancaman gejala sosial yang menggerunkan ini. Mudah-mudahan dengan keinsafan itu, kita akan mengorak langkah secara bersepadu untuk menghadapi ancaman gejala sosial yang semakin parah ini. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua anggota masyarakat agar menangani masalah ini daripada terus berleluasa. Adalah tidak wajar sama sekali di kalangan kita saling menuding jari menyalahkan satu sama lain, tanpa memberikan sebarang sumbangan dalam menghadapi ancaman ini.

"Wahai orang yang beriman!, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarnya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya). Mereka menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

(At-Tarmizi ayat 6)

Ya Allah, Engkaulah tuhan yang Maha Berkuasa, kami bersyukur kehadratMu telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju dan sejahtera. Tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budipekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianMu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Khamis, 17 April 2008

Kelebihan Masjid

Firman Allah s.w.t :

" Hanya orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kiamat sahajalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah. " (Surah At-Taubah, ayat 18)

Sabda Rasulullah s.a.w :

" Barangsiapa demi keredhaan Allah, membangunkan sebuah masjid, walaupun seluas sarang burung merpati, nescaya Allah akan membina untuknya istana di syurga. " (Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

" Orang yang membiasakan dirinya duduk dalam masjid, Allah akan memberi perlindungan kepadanya. " (Riwayat Tabarani)

" Apabila seseorang masuk masjid, sebelum duduk hendaklah solat dua rakaat. " (Riwayat Ahmad, Bukhari dan lain-lain)

" Tiada (sempurna) solat bagi orang yang tinggal berdekatan dengan masjid, melainkan solat di masjid. " (Riwayat Daraqutni)

" Malaikat berselawat (minta ampun dan rahmat) bagi setiap orang yang selesai solat dan masih di tempat solatnya itu. Para malaikat berdoa: " Ya Allah, berilah kepadanya rahmat dan keampunanMu " begitulah tidak berhenti selama orang itu tidak batal wuduk atau orang itu keluar dari masjid. " (Riwayat Bukhari)


Sumber : Suara Masjid 05/01, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor

Selasa, 15 April 2008

Masjid perlu jadi institusi yang diminati - PM

15/04/2008 2:37pm

KUALA LUMPUR 15 April — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata masjid perlu menjadi institusi yang penting dan dapat menarik minat umat Islam mengunjunginya dengan mengadakan pelbagai aktiviti.

Perdana Menteri berkata penekanan harus diberi bahawa masjid bukan hanya tempat untuk mengerjakan ibadah, sebaliknya digunakan oleh umat Islam bagi menganjurkan pelbagai kegiatan lain yang ada hubung kait dengan agama dan pada masa yang sama menjaga kesucian masjid sebagai tempat ibadah.

"Saya juga mahu masjid menjadi tempat yang memberi ketenteraman kepada yang mengunjunginya oleh itu banyak yang perlu diusahakan agar fungsi masjid menjadi lebih baik. Masjid juga tidak harus menjadi tarikan hanya kepada orang tua sahaja...kita tidak mahu masjid menjadi tempat yang dijauhi oleh golongan muda,” katanya.

Abdullah berkata aspek penyelenggaraan perlu diberi perhatian berat oleh pihak pengurusan masjid bagi memastikan persekitarannya sentiasa terpelihara.

“Tidak semestinya masjid baru sahaja nak bersih...saya lihat Masjidil Haram yang sudah lama didirikan, tetapi keadaannya sentiasa bersih dan memberi ketenangan,” katanya ketika merasmikan Multaqa Imam-Imam Masjid seluruh negara, anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Masjid Persekutuan di sini hari ini.

- Bernama

Rabu, 9 April 2008

Jadual Majlis Ilmu - April 2008

Tarikh Penceramah /Tajuk Masa
2008-04-11 Ust. Shamsul Bahri Zainal
Wasoya Rasul (Tamadun Islam)
Selepas Solat Magrib
2008-04-13 Ust. Surizal
AQIDAH - AHLI SUNNAH WALJAMAAH
Selepas Solat Subuh
2008-04-14 Ust. Rizal Mokter
TANBIHUL GHOFILIN
Selepas Solat Magrib
2008-04-15 Ust. Ariffin
Wushahul Afrah Wa Isbahul Fala
Selepas Solat Magrib
2008-04-16 Habib Ali Zainal Abidin
Tafsir Qur'an
Selepas Solat Magrib
2008-04-18 Ust. Hazri
Para Sahabat Rasullullah s.a.w
Selepas Solat Magrib
2008-04-20 Ust. Ghazali Hasbullah
RISALAH TAUHID
Selepas Solat Subuh
2008-04-21 Ust. Zakaria Mohamed
Umum
Selepas Solat Magrib
2008-04-22 Ust. Mahfuz Muhamad
Perkara Bidaah/Umum
Selepas Solat Magrib
2008-04-23 Ust. Shamsul Bahri Zainal
Wasoya Rasul (Tamadun Islam)
Selepas Solat Magrib
2008-04-25 Ust. Surizal
Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah
Selepas Solat Magrib
2008-04-27 Ust. Hadi Bakri
Umum
Selepas Solat Subuh
2008-04-28 Ust. Yusri Abd Karim
Bimbingan Mukmin
Selepas Solat Magrib

Lokasi Masjid Al-Faizin

Penyata Pendapatan

PENYATA KUTIPAN JUMAAT

Mingguan :

04 / 04 / 2008 - RM 1,438.00
11 / 04 / 2008 - RM 1,155.00

Bulanan :

Januari - RM 5,155.60
Februari - RM 6,962.00
Mac - RM 4,723.00

Tahunan :

2006 - RM 76,282.60
2007 - RM 68,521.00


PENYATA KUTIPAN AIDILFITRI / AIDILADHA

Aidil Fitri - RM 2,428.00
Aidil Adha - RM 2,560.00

Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al-Faizin Desa Jaya / Taman Ehsan


Pengurus :
Us. Bashiruddin
No. Telefon : 012 - 657 0846

Timbalan Pengurus :
Us. Nisran
No. Telefon : 017 - 292 6215

Penolong Pengurus :
Us. Zaki
No. Telefon : 012 - 287 0465

Imam 1 :
Hj. Dahalan

Imam 2 :
Hj. Ayub Bin Zambri
No. Telefon : 03 - 6275 8355

Bilal 1 :
Hj. Tahir

Bilal 2 :
Us. Huzaiyin
No. Telefon : 012 - 698 8467

Bilal 3 :
Hj. Bidin

Pengurusan Jenazah :
Hj. Saripudin

Penyelaras Majlis dan Kera'ian :
Hj. Mohd Khalid Bin Mohd Kasim
No. Telefon : 017 - 670 9234

Sejarah dan Maklumat Am Masjid Al-Faizin Desa Jaya / Taman Ehsan

Masjid Al-Faizin Desa Jaya / Taman Ehsan, Kepong Gombak Selangor Darul Ehsan telah dibuka dengan rasminya oleh DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj Ibnu Al-Marhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Al-Haj pada hari Jumaat, 9 Safar 1405 Hijriah bersamaan 2 Oktober 1987 Masihi.